USAHAWAN dan pakar pelaburan dari Senai, Johor, Norizam Tukiman atau Zambuger sah bergelar pemilik pasukan Kelantan
Norizam membeli skuad The Red Warriors dengan harga RM6.8 juta, menjadikan beliau pemilik sepenuhnya saham syarikat Team Red Warriors (TRW) Sdn Bhd.
Memetik laporan Harian Metro, Norizam berkata, tumpuan pertama akan diberi kepada prestasi dan infrastruktur dalam usaha mengembalikan keyakinan peminat bekas juara Liga Super 2012 itu.
“Saya akan fokus kepada isu pelesenan untuk pastikan kita selesaikan segala gaji pemain, kita bayar RM3 juta dan RM3.8 juta sehingga hujung tahun ini untuk KAFA selesaikan hutang.
“KPI yang saya letakkan kepada pasukan seri adalah kalah, kemenangan itu harus, kita nak pemain fokus jangan lagi fikir pasal masalah gaji, bermain dengan baik jangan hampakan peminat,” katanya pada Majlis Penswastaan Kelab Bola Sepak TRW Kelantan FC di Kota Bharu, hari ini.
Norizam memberi tempoh tiga hingga lima tahun bagi proses menggilap pasukan dan menyasarkan pulangan saham TRW mampu mencapai RM500,000 hingga satu bilion.
Beliau mengakui terpaksa menjual beberapa aset syarikatnya dan ditambah tiada penjualan tiket ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun optimis demi membantu Kelantan.
“Saya seorang pelabur, saya dah melabur 20 tahun, Saya tidak melabur hari ini untung esok, sebaliknya saya beri keutamaan kepada peminat dan nak pasukan sentiasa menang.
“Saya juga nasihatkan pemain, jangan jual permainan kepada bookie, saya harapkan doa semua supaya dapat kembalikan kegemilangan Kelantan dan di masa akan datang, saya juga akan berikan saham kepada pemain kalau betul-betul ‘perform’ sebagai penghargaan dan tak hanya bergantung kepada gaji semata-mata,” katanya.
Norizam juga akan mengekalkan nama dan pengurusan TRW buat masa ini.
Terdahulu dalam majlis itu, Norizam menerima Perjanjian Pemilikan Penuh Syarikat TRW Sdn Bhd yang turut dihadiri Presiden KAFA, Datuk Shaari Mat Hussin dan Timbalannya, Datuk Seri Afandi Hamzah serta pemain.
Turut berlangsung, majlis penyerahan bayaran gaji kepada jurulatih, pegawai dan pemain berjumlah RM370,000.

