SALAH Waze. Itu didakwa punca dua pemandu kereta tersilap memasuki lorong motosikal di Lebuhraya Persekutuan dari arah Kuala Lumpur ke Klang dalam dua kejadian berasingan, baru-baru ini.
Dua kejadian berkenaan berjaya dirakam oleh penunggang motosikal yang menggunakan lorong motosikal, sebelum rakaman video itu tular di media sosial dan mendapat perhatian polis yang kemudian membuat dua laporan.
Difahamkan, kejadian pertama membabitkan kereta Perodua Bezza pada 28 Ogos lalu kira-kira jam 3 petang, manakala kejadian kedua membabitkan Toyota Vios pada Ahad lalu, kira-kira jam 7.10 malam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata dua laporan polis itu dibuat oleh pegawainya di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, semalam selepas menonton dua rakaman video berkenaan kira-kira jam 12 tengah hari.
“Rakaman video pertama menunjukkan sebuah Toyota Vios dipandu seorang lelaki, manakala video kedua menunjukkan sebuah Bezza dipandu wanita tersalah memasuki lorong motosikal.
“Kedua-dua pemandu berusia 33 tahun itu berjaya dihubungi dan hasil temubual awal, kedua-duanya memaklumkan mereka mengikuti arahan daripada aplikasi Waze untuk memasuki sebuah lorong kecil,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya lagi, kedua-dua pemandu itu mula menyedari mereka silap memasuki lorong selepas melihat banyak motosikal menggunakan laluan berkenaan.
“Beberapa penunggang motosikal yang melihat kejadian itu kemudian mengarahkan mereka berhenti sebelum menunjukkan laluan keluar ke jalan utama.
“Kedua-dua pemandu berjaya dikesan dan dihubungi bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau dipenjarakan tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali. – Malaysiapost.


