UMNO perlu menetapkan siapa calon Perdana Menteri daripada parti itu untuk pilihan raya umum akan datang.
Namun, timbul persoalan siapa dalam parti itu yang layak menduduki kerusi nombor satu berkenaan.
Bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berkata Umno akan berdepan masalah kerana tiada pemimpin yang mampu menandingi Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Kalau anda tanya apakah Umno ada seorang calon? Tidak. Sudah tentu, sekarang ini tiada orang yang boleh saingi Muhyiddin. Itulah masalah kita sekarang.
“Itulah sebabnya kita perlu bina semula parti dan tinggalkan masa lampau. Itulah yang saya cuba sampaikan.
“Kita sokong Muhyiddin kerana beliau Perdana Menteri sekarang, tapi kita perlu rancang untuk selepas itu,” kata Khairy kepada Channel News Asia dalam satu temubual.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, Umno perlu beralih daripada bekas presidennya, Datuk Seri Najib Razak, berikutan pelbagai kes di mahkamah dan Umno perlu dipimpin generasi baru.
“Biar generasi baharu seperti Hishammuddin Hussein, Ismail Sabri Yaakob, saya, Reezal Merican, dan beberapa yang lain. Biarkan kami yang pimpin parti,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata parti itu akan mencalonkan salah seorang pemimpinnya sebagai Perdana Menteri untuk pilihan raya umum akan datang.
“Masalahnya sekarang ini siapa yang akan diangkat? Kita harap Umno akan capai konsensus dengan rakan-rakannya untuk mengangkat seseorang yang boleh memimpin negara dan boleh diterima ramai,” katanya dalam temubual berasingan.-Malaysiapost.

