BEKAS peserta pertandingan nyanyian realiti televisyen antara 23 ditahan ketika sedang berhibur di sebuah restoran di Tanjong Chat, Kelantan, malam tadi.
Dalam serbuan jam 11.20 malam itu, pengunjung yang rata-ratanya warga emas sedang berhibur dengan pertandingan nyanyian karaoke yang dipercayai sempena sambutan Hari Kemerdekaan.
Memetik laporan Harian Metro, penyanyi berusia 35 tahun itu dipercayai dilantik sebagai juri pertandingan.
Difahamkan, terdapat beberapa kategori termasuk Persembahan Terbaik, Vokal Terbaik, Ratu Gedik dan Ratu Dangdut dalam pertandingan berkenaan.
Serbuan dibuat Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK) sempena Op Noda Khas Bersepadu.
Dalam serbuan diketuai Pegawai Operasi D7 IPK Kelantan, Inspektor Muhamad Farid Abu Othman itu, seramai 11 lelaki dan 12 wanita berumur antara 30 hingga 65 tahun ditahan.
Setiausaha MPKB-BRI, Mohd Hariff Ghazali, berkata pemilik premis berusia 65 tahun turut ditahan atas kesalahan menganjur aktiviti pertandingan karaoke tanpa lesen. -Malaysiapost

