Lelaki Indonesia bawa rokok seludup cuba rasuah polis

0
2

SEORANG lelaki diberkas atas kesalahan cubaan merasuah anggota polis yang menahannya atas kesalahan membawa rokok seludup di Pantai Dalam, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd Zainuddin memaklumkan, sepasukan anggota polis telah menahan suspek yang juga warga Indonesia.

Lelaki berusia 38 tahun itu ditahan ketika memandu sebuah kereta jenis Proton Perdana pada jam 8 pagi semalam.

“Hasil pemeriksaan, kita telah menjumpai sebanyak 123 kotak pelbagai jenama rokok seludup di tempat duduk belakang kereta itu.

“Suspek juga cuba memberi suapan RM1,000 kepada anggota polis ketika sedang menjalankan pemeriksaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967, memiliki rokok seludup dan Seksyen 214 Kanun Keseksaan, cuba memberikan suapan.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1963 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri. – Malaysiapost