CALON Parti Amanah Negara (Amanah) akan menggunakan lambang Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 26 September ini.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad, berkata keputusan itu dibuat sebagai tanda solidariti kepada Warisan dan sokongan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
Katanya, walaupun PRN ini peluang baik untuk Amanah memperkenalkan lambangnya, namun tanda solidariti dan kebersamaan diberikan keutamaan.
“Amanah menolak budaya politik khianat yang menyebabkan tumbangnya kerajaan Persekutuan dan beberapa kerajaan negeri.
“Politik lompat atau khianat ini bukan sahaja mengkhianati parti yang diwakili tetapi juga rakyat jelata. Ini kerana kerajaan pilihan rakyat dijatuhkan dan rakyat dinafi hak untuk mendapat kerajaan pilihan mereka.
“Sabah turut menjadi mangsa politik khianat ini dan kalau tidak kerana tindakan pantas Datuk Seri Shafie Apdal (DSSA) maka golongan yang ditolak rakyat telahpun membentuk kerajaan negeri seperti yang berlaku di peringkat persekutuan.
“Sehubungan itu, Amanah berdiri teguh bersama DSSA dan Warisan dalam berjuang untuk mempertahankan kedaulatan rakyat Sabah yang dicabuli golongan pengkhianat ini.
“Sebagai tanda solidariti dan kebersamaan, Amanah telah memutuskan bahawa calon-calon Amanah akan menggunakan lambang Warisan ketika bertanding dalam PRN yang bakal diadakan pada bulan ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, penggunaan lambang Warisan adalah sebagai tanda sokongan terhadap kedudukan DSSA sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah dan jawatan itu wajar dikembalikan kepadanya.
Katanya, Amanah bersetuju bahawa kedudukan Ketua Menteri perlu ditetapkan oleh rakyat Sabah, melalui sebuah parti Sabah dan bukan oleh pihak Semenanjung.
“Penggunaan lambang Warisan juga melambangkan penerimaan Amanah terhadap Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah lama dibelakangkan oleh Barisan Nasional (BN) sepanjang tempoh pemerintahan mereka,” katanya. -Malaysiapost

