SPRM tumpu isu ketirisan, rasuah perolehan kerajaan

0
2

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendedahkan terdapat banyak ketirisan berlaku dalam isu perolehan membabitkan pegawai dan kakitangan kerajaan.

Justeru, SPRM kini lebih memfokuskan penguatkuasaan dan siasatannya kepada pegawai dan kakitangan kerajaan di jabatan serta agensi kerajaan sejak 2015 sehingga kini.

Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Azam Baki, berkata SPRM sebelum ini hanya menumpukan kes rasuah ‘tepi jalan’ namun kini tidak lagi.

“Sejak kebelakangan ini pegawai kerajaan atau mereka yang bertugas di agensi yang berkaitan dengan kerajaan, banyak menipu dalam hal perolehan kerajaan.

“Perbuatan seperti ini menyebabkan kehilangan duit yang begitu banyak,” katanya seperti dilaporan Malaysia Gazette.

Memberi contoh kes penyelewengan di Sabah beberapa tahun lalu, Azam berkata, kerajaan mengeluarkan projek untuk bekalan air di negeri itu sebanyak RM1.5 bilion.

Bagaimanapun, hasil siasatan SPRM mendapati, kos projek itu hanya separuh daripada jumlah dinyatakan.

“Dalam kes ini, kita telah menangkap tiga pegawai kanan kerajaan, yang kini sedang dalam perbicaraan dan merampas wang tunai sebanyak RM114 juta.

“Lebih mengejutkan, kita juga jumpa sebanyak RM53.3 juta wang tunai dalam rumah pegawai berkenaan,” katanya.

Azam juga turut memberitahu bahawa di Melaka juga ada kes melibatkan seorang pengarah dalam kerajaan yang menerima rasuah sehinggakan SPRM menemui wang tunai kira-kira RM60 juta di rumahnya.

“…wang itu disorok di dalam syiling dan beberapa lagi tempat di rumah berkenaan.

“Kes begini merupakan satu perkara yang amat merungsingkan kepada kita terutama kepada saya sendiri sebagai penguatkuasa undang-undang,” katanya.

Azam berkata, sekali sekala mungkin ada ‘suara nakal’ mengatakan mereka kadang-kadang tidak tahu apa sudah terjadi dengan siasatan SPRM.

“Kita sentiasa memaklumkan perkara ini dalam media dan masyarakat mengenai tangkapan demi tangkapan dan apakah hasil dari siasatan kami. Ada yang dituduh dan ada yang tidak dituduh di mahkamah,” katanya. – Malaysiapost