PASUKAN keselamatan menerusi Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) menahan 21 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) warga Indonesia di pesisir pantai Tanjung Lompat, Kota Tinggi, awal pagi tadi.
Turut ditahan, empat tekong yang mendalangi aktiviti mengambil dan menurunkan PATI sama ada untuk pulang ke Indonesia serta masuk secara haram ke negara ini.
Mereka ditahan pada jam 5.40 pagi di sektor Op Benteng di bawah tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged) oleh Pasukan Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD).
Markas 3 Divisyen menerusi kenyataan memaklumkan, susulan maklumat perisikan polis dan bantuan radar Kenderaan Perisai Gempita Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (2 KAD), pihaknya berjaya mengesan pergerakan dua bot yang mencurigakan masuk ke perairan Malaysia.
Katanya, kedua-dua bot itu cuba menurun dan mengambil PATI di lokasi pesisir pantai Tanjung Lompat pada jam 4.45 pagi.
“Serbuan oleh pasukan 1 RRD dengan bantuan polis ke atas sebuah bot yang merapati pantai itu telah berjaya menahan 21 orang PATI serta empat lelaki yang disyaki tekong laut.
“Dari 21 PATI yang ditangkap, 17 individu hendak pulang ke Indonesia, iaitu lapan lelaki dan sembilan wanita, manakala empat lagi lelaki didapati baru tiba ke Malaysia.
“Turut dirampas sebuah bot fiber bersama tiga enjin berkapasiti 200 HP,” katanya.
Semua tekong dan PATI serta barang rampasan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – Malaysiapost

