Kanak-kanak enam tahun lemas dalam tragedi kepala air

0
2

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemukan lemas selepas dilapor hilang akibat dihanyutkan arus deras dalam kejadian kepala air di Sungai Kedondong, Batang Kali hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, anggotanya menemukan mayat Abdul Wafi Wuuzir tersangkut di celah batu pada jam 5.44 petang tadi.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat digerakkan sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 3.09 petang.

“Mayat mangsa telah dikeluarkan dari celah batu dan anggota Bomba dan Penyelamat berdepan keadaan agak sukar kerana air deras.

“Kaedah river crossing menggunakan strecher dibuat untuk membawa mayat,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Mengulas lanjut kejadian itu, beliau berkata, terdapat empat mangsa sedang mandi di sungai itu, apabila dihanyutkan kepala air, tetapi dua daripada mangsa, iaitu lelaki dewasa berjaya diselamatkan.

“Kedua-duanya selamat selepas terperangkap di atas batu berikutan arus sungai yang deras, manakala seorang lagi mangsa perempuan yang terperangkap dalam air juga diselamatkan anggota JBPM dalam operasi itu,” katanya.

Beliau turut memberitahu, kejadian itu melibatkan tiga kumpulan yang datang ke tempat itu untuk mandi-manda dan berkelah. – MalaysiaPost