Ganja 30 kg ditemui bersama lima individu termasuk anggota tentera

0
1

LIMA individu termasuk seorang anggota tentera berpangkat Koperal antara yang ditahan bersama ketulan mampat ganja seberat 30 kilogram dalam satu serbuan di parkir berdekatan sebuah pasar raya di Kelana Jaya, Selangor pada Khamis lalu.

Menurut Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, Supt Abdul Latiff Abdul Rahman, serbuan kira-kira jam 4.30 petang itu adalah hasil aduan orang awam dan risikan pihaknya.

Katanya, ketika serbuan dilakukan, dua lelaki masing-masing berumur 24 tahun dan anggota tentera berusia 32 tahun itu berada dalam sebuah kereta.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan ketulan mampat ganja bernilai RM75,000.

“Turut ditahan tiga lelaki berumur antara 25 hingga 27 tahun dalam kenderaan berasingan.

“Kita percaya mereka mungkin bertemu untuk mengagihkan bahan terlarang itu,” katanya memetik laporan Bernama.

Sehubungan itu, Abdul Latiff berkata, soal siasat mendapati empat suspek itu merupakan rakan sekampung kepada anggota tentera berkenaan dan dadah itu dipercayai diperoleh dari negeri di pantai timur untuk dipasarkan sekitar Lembah Klang.

Kata beliau, hasil saringan air kencing mendapati anggota tentera yang telah berkhidmat selama 14 tahun dalam angkatan itu serta dua rakannya negatif dadah, manakala tiga lagi positif methamphetamine dan amphetamine.

Beliau berkata, ganja seberat 30 kilogram itu yang dirampas boleh dibekalkan kepada kira-kira 60,000 penagih untuk tempoh sehari.

Katanya lagi, semua suspek direman selama tujuh hari sejak Khamis lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – MalaysiaPost