Tubuhkan parti baharu, Syed Saddiq tolak “politik tua” – Mohd Puad

0
2

Nurul Huda Abhar

TINDAKAN bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman menubuhkan parti baharu seperti mahu menolak “politik tua”.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi berkata, kini Syed Saddiq terlalu bersikap terbuka namun masih tidak boleh menerima realiti rentak permainan politik.

“Apa pun saya tetap ada kebimbangan. Bimbang Syed Saddiq menjadi terlalu idealis tetapi tidak realis. Menjadi idealis memang penting sebab itu adalah prinsip.

“Tetapi Syed Saddiq patut seimbang antara idealis dan realis. Realiti sentiasa berubah. Ia berubah cepat terutama “realiti politik,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Mohd Puad berkata, namun begitu Syed Saddiq telah bersedia menerima realiti dunia politik bila membuat kenyataan mungkin kehilangan kerusi dan akur jika situasi itu berlaku.

Mohd Puad juga memberikan contoh perjalanan politik negara jiran Parti Keadilan Sejahtera (PKS) yang majoriti pemimpinnya adalah doktor dan peguam.

Parti tersebut, katanya, amat menonjol semasa tragedi Tsunami 2004, dan menang banyak kerusi di Pilihan Umum (PEMILU) Indonesia.

“Tetapi setelah ada kuasa dan berjawatan menteri, beberapa pemimpinnya terlibat rasuah. Justeru imej parti itu mula merosot.

“Sebab itu tidak kira siapa, muda atau tua, berpelajaran tinggi atau rendah, islamik atau sekular, bila ada kuasa dan jadi menteri, prinsip perjuangan mudah tergadai,” katanya.

Tambah Mohd Puad, pengalaman Syed Saddiq yang pernah memegang jawatan menteri mungkin telah membuka mata Ahli Parlimen Muar tersebut.

Menurutnya lagi, perjalanan politik Syed Saddiq yang dipelajari dari “sifunya” Tun Dr Mahathir yang mencetuskan penubuhan parti baharu “Muda Malaysia”.

Justeru, Mohd Puad berkata tiada beza antara “politik tua” atau “politik muda”, mereka tetap mempunyai persamaan jika sifatnya dalamannya sama.

“Kadang-kadang orang muda lagi kuat mengamalkan politik tua. Sebab itu, yang membezakan ialah sama ada berprinsip atau tidak berprinsip.

“Dengan kata lain, “pejuang atau pujawang”, ujarnya. – Malaysiapost