SAYA akan tetap beri pandangan dan nasihat kepada ahli parti selagi memegang jawatan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, kata Tengku Razaleigh Hamzah.
Tengku Razaleigh seperti dilaporkan Berita Harian berkata, pandangannya dalam semua perkara berkaitan parti adalah untuk kebaikan bersama dan menarik sokongan ahli bawahan secara berterusan.
Beliau berkata, segala pandangan menyentuh kepimpinan termasuk pemimpin Umno dalam Kabinet adalah untuk menyampaikan ketidakpuasan hati rakyat.
“Saya kena jawab sebab dilantik sebagai penasihat, kecuali kalau tak nak bagi saya jadi penasihat lagi, saya boleh berhenti nasihatlah.
“Saya tak kritik, saya ulang saya tak kritik sesiapa. Saya tak campur urusan parti lain, saya hanya bagi pandangan ahli Umno yang menemui saya,” katanya.
Beliau mengulas berhubung kenyataannya yang meminta pemimpin Umno dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) segera berundur daripada jawatan masing-masing.
Ia selepas Bersatu menyatakan untuk menerima bukan Melayu sebagai ahli parti, sekali gus menghilangkan kelayakan parti itu sebagai anggota Pakatan Melayu Islam didukung Muafakat Nasional (MN).
Ahli Parlimen Gua Musang itu menambah, beliau juga menyampaikan pandangan orang di peringkat akar umbi yang melihat menteri daripada Umno tidak diberi muka dalam kerajaan PN.
“Apa guna duduk situ. Itu pandangan orang bawah yang saya sampaikan dan ada orang tiada jawatan dalam parti pun ada kedudukan tinggi.
“Orang kita yang ada pegang jawatan sebagai Naib Presiden dalam parti pun tiada ada kedudukan (dalam Kabinet), seolah-olah begitulah,” katanya. – Malaysiapost

