Krisis Bung Moktar, Rahman Dahlan selesai

0
1

ISU dalaman Umno Sabah antara Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ketua Umno Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan selesai.

Ia selepas kedua-duanya saling bersalaman sambil tersenyum, berdasarkan gambar yang dimuat naik Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

Menerusi satu ciapan di Twitter, Ahmad Zahid berkata kedua-dua pemimpin Umno Sabah tersebut berjiwa besar dan berlapang dada.

“Meraikan perbezaan pendapat dan saling memaafkan, perlukan seseorang yang berjiwa besar dan sentiasa berlapang dada,” katanya.

Ahmad Zahid semalam berada di Sabah untuk bertemu pemimpin parti di negeri itu sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September ini.

Baru-baru ini, Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno mengadakan sidang media bersama 12 pemimpin parti itu di peringkat negeri bagi menyatakan bantahan terhadap pelantikan Bung Moktar yang disifatkan sebagai tidak sesuai kerana masih berdepan kes mahkamah.

Dalam reaksinya berhubung perkara itu, Bung Moktar kemudian berkata beliau tidak berkecil hati dengan tindakan Abdul Rahman Dahlan mempertikai pelantikannya sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi PRN.

Sebaliknya, Ketua Umno Bahagian Kinabatangan itu menyifatkan, ia perkara biasa dihadapi Umno dan pemimpin sepertinya, namun tidak sedikitpun menjejaskan tugasnya sebagai ketua. – Malaysiapost