Muhammad Mustakim Ramli
SERAMAI sembilan lelaki tempatan ditahan Polis Johor selepas dipercayai terbabit dalam kegiatan pinjaman tidak berlesen atau ah long, bulan lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata suspek berusia 23 hingga 46 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan 398 kes yang diterima pihaknya sepanjang Januari hingga Ogos lalu.
“Dalam tangkapan pertama pada 15 Ogos kita menahan seorang suspek di Kepong, Kuala Lumpur.
“Pada hari sama juga kita menahan tujuh suspek di Tampoi dan seorang lagi di Batu Pahat,” katanya dalam sidang media yang disiarkan secara langsung di Facebook Polis Johor, hari ini.
Ayob Khan berkata, susulan siri tangkapan berkenaan, tiga lagi suspek diberkas iaitu masing-masing di Sepang, Skudai dan Johor Jaya pada 22 Ogos.
Katanya, berdasarkan siasatan, modus operandi yang digunakan adalah menyasarkan rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.
“Pinjaman dilakukan secara dalam talian, di mana ah long dan mangsa tidak berjumpa. Apabila mangsa gagal membayar hutang, ah long ini akan melakukan ugutan.
“Antaranya dengan membaling cat, mengunci pagar rumah mangsa dan membaling molotov coktail,” katanya.
Beliau berkata, siasatan mendapati suspek juga menjadikan mangsa yang tidak mampu membayar hutang supaya bekerja dengan mereka untuk melakukan kerja ugutan bagi menyelesaikan hutang.
“Selain itu, kita dapati sindiket menggunakan sim kad tidak berdaftar untuk melakukan ugutan,” katanya.
Ayob Khan berkata, pihaknya akan menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa Singapura dalam membanteras kegiatan berkenaan.
“Mungkin ada pembabitan dari sana kerana mangsa yang disasarkan adalah rakyat Malysia yang bekerja di Singapura, selain tambah nilai telefon dilakukan di negara itu.
“Setakat ini siasatan lanjut masih dijalankan kerana suspek yang ditahan turut melakukan kegiatan itu hampir seluruh negara,”katanya.
Katanya, pihak turut merampas beberapa komputer riba, telefon bimbit, cat dan kereta sepanjang tangkapan berkenaan. – Malaysiapost

