Sultan Johor perkenan lantik Wong Khong Soon sebagai Mejar Cina

0
2

SULTAN Johor, Sultan Ibrahim Iskandar bertitah berkenan gelaran Mejar Cina yang pernah dikurniakan oleh Sultan Abu Bakar dihidupkan semula sebagai kesinambungan sejarah Johor moden.

Yang Dipertua Jemaah Majlis DiRaja, Datuk Dr Abdul Rahim Ramli, dalam kenyataan memaklumkan baginda berkenan melantik David Wong Khong Soon sebagai Mejar Cina berkuatkuasa hari ini.

“Dengan hak dan kuasa baginda di bawah Fasal 7(2)(b) Bahagian Kedua Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 dengan telek pandang baginda berkenan melantik Wong Khong Soon iaitu seorang Pengurus Ladang Sawit Mado’s.

“Mejar Cina Wong Khong Soon akan menjalankan tugas dan bekerjasama dengan Yayasan Sultan Ibrahim dan lain-lain Yayasan Diraja Johor serta pegawai daerah, wakil rakyat, penghulu dan ketua masyarakat dalam mengenalpasti penerima, menyelaras, mengatur dan melaksanakan pengagihan kurniaan bantuan kepada bangsa Johor khasnya masyarakat Cina.

“Dalam menjalankan tugas itu, Mejar Cina tidak bersifat sebagai wakil raja. Beliau tidak dibekalkan dengan apa-apa kuasa, hak, imbuhan, kemudahan atau keistimewaan,” katanya.

Dr Abdul Rahim memaklumkan sejarah Mejar Cina bermula pada 1840 Temenggong Daeng Ibrahim membenarkan pengikut baginda daripada bangsa Cina berpindah dari Singapura ke Tanah Besar Johor, dan membuka penempatan dinamakan Kangkar di Tebing Sungai Tebrau.

Pada 1870 terdapat 29 Kangkar di Johor. “Masyarakat Cina dibenarkan menjalankan pertanian dan ternakan, budaya dan agama tradisi mereka tanpa gangguan.

“Temenggong melantik seorang ketua di kalangan Kangkar sebagai Kangcu untuk mengurus dan mengawal keselamatan mereka.

“Mereka yang berkebolehan di antara Kangcu dilantik sebagai Kapitan Cina dan seorang Mejar Cina,” katanya.

Katanya, antara tugas mereka menjadi perantaraan menyampaikan titah raja kepada rakyat khasnya bangsa Cina.

“Mereka juga mendapatkan maklum balas daripada masyarakat Cina untuk dijadikan asas perancangan kemajuan dan menentukan mereka tidak dipinggirkan.

“Serta membentuk dan mengukuhkan perpaduan mereka dengan masyarakat,” katanya. -Malaysiapost