‘The time is now’ – Syed Saddiq

0
2

AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman yang akan menubuhkan parti berasaskan golongan anak muda, hari ini menegaskan orang muda tidak boleh lagi dipanggil pemimpin masa hadapan negara.

Menerusi satu hantaran di Facebooknya, bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata sejak berada di bangku sekolah lagi beliau telah mendengar kata-kata ‘orang muda pemimpin masa hadapan’.

“Orang muda adalah pemimpin hari ini! The time is now (sekarang masanya). Kalau bukan sekarang, bila lagi?,” kata bekas Ketua Armada Bersatu itu.

Baru-baru ini, Syed Saddiq, 27, mengesahkan beliau akan menubuhkan parti berasaskan golongan anak muda berbilang kaum.
Ia selepas beliau menjadi satu-satunya bekas Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad tetapi tidak menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang ditubuhkan bekas Perdana Menteri itu.

“Sekiranya di Thailand mereka dapat menubuhkan parti Future Forward dan di Perancis, mereka dapat menubuhkan En Marche di bawah (Emmanuel) Macron.

“Saya rasa sudah waktunya di Malaysia, untuk memulai gerakan orang muda – teknokrat muda, profesional – ahli politik muda dari pelbagai latar belakang hingga bersatu memastikan suara pemuda akan menguasai di dalam dan di luar Parlimen.

“Pada akhirnya, anak muda tidak boleh dipandang ringan lagi. Sudah sampai masanya pada hari ini bahawa politik tidak akan dikuasai oleh orang yang sama – dikawal dan dimonopoli oleh orang tua yang sama,” katanya petik laporan Channel News Asia. baru-baru ini. – Malaysiapost