AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menjelaskan perbezaan pendapat d
antara beliau dengan kepemimpinan parti boleh dibincangkan pada masa akan datang.
Katanya, isu itu tidak dibatasi masa berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang tarikhnya sudah ditetapkan pada 26 September ini.
Beliau berkata, pilihan raya itu harus diberi keutamaan kerana ia tidak boleh ditangguhkan.
“Perbezaan pendapat adalah lumrah politik. Namun, kita perlu membahagi isu.
“Ya, ada masa untuk berbalah. Tetapi sekarang adalah masa untuk memenangkan Barisan Nasional (BN) dan rakan-rakannya dalam PRN. Ketika ini, itu lebih mustahak.
“Perbezaan pendapat masih boleh dan perlu diurus dan dibincangkan di masa akan datang kerana proses itu tidak terkekang oleh had masa.
“Pilihanraya pula ada had masa dan perlu diberi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau yang juga Ketua Umno Tuaran, berkata sebagai ketua bahagian dan ahli majlis tertinggi parti, beliau bertanggungjawab kepada parti dan ahli parti untuk memastikan BN serta rakan-rakan menang dalam pilihan raya.
Sebelum ini, Abdul Rahman mencuri tumpuan ramai berikutan tindakannya mengadakan sidang media mempertikai pelantikan Pengerusi Umno Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang didakwanya boleh menjejaskan peluang BN dalam PRN kerana berdepan kes mahkamah.
Abdul Rahman turut mempertikai cara Pengerusi BN yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melantik Bung Moktar yang didakwanya tidak menepati konsep autonomi yang diberi kepada Umno Sabah.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid dalam laman Facebook beliau hari ini memuat naik gambar yang menunjukkan Abdul Rahman bersalaman dengan Bung Moktar, menggambarkan hubungan di antara kedua-dua pemimpin itu sudah pulih.
Bung Moktar sebelum ini turut menjelaskan beliau tidak berkecil hati dengan kenyataan Abdul Rahman, sebaliknya terus menumpukan usaha mengukuh dan menggerakkan jentera Umno dan BN bagi menghadapi PRN. – Malaysiapost

