PAS sedia pecat pemimpin, ahli langgar moral Islam

0
2

PAS amat menitik beratkan moral baik dalam kalangan pemimpin dan sedia memecat mana-mana pemimpin yang melanggar moral serta nilai Islam.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menegaskan parti itu amat mementingkan moral baik dalam kalangan pemimpin dan ahlinya.

“Yang penting moral dulu, kalau buat sesuatu maksiat yang bercanggah dengan lslam dan moral, kita pecat dia.

“Dalam PAS yang pertama adalah dari segi maksiat, diikuti yang kedua kalau ada salah laku itu, kita serah kepada undang-undang,” katanya memetik laporan Malaysiakini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin yang menyifatkan kisah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, umpama seekor burung hud-hud dalam kisah Nabi Sulaiman.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu dikompaun sebanyak RM1,000 oleh Kementerian Kesihatan atas kesalahan melanggar perintah kuarantin wajib selepas pulang dari Turki.

Sementara itu, Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang itu mempertahankan tindakan anggota Parlimen yang melompat parti.

Beliau berpendapat bahawa ia bukanlah satu tindakan yang tidak baik jika matlamatnya untuk menyelamatkan negara dan melakukan perubahan.

“Ada orang kata lompat parti ada yang baik dan ada yang tak baik. Lompat (ketika) menghadapi bahaya untuk selamat, ia lompat yang baik. Lompat terjun kepada bahaya, itu tidak baik.

“Lompat (yang baik) untuk menyelamatkan kerajaan, untuk membentuk satu perubahan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Setengah Tahun Pentadbiran Perikatan Nasional (PN).

Menurut laporan Malaysiakini, ucapan Abdul Hadi jelas merujuk kepada pembentukan kerajaan PN yang ditubuhkan susulan langkah BERSATU dan sejumlah anggota Parlimen dalam PKR untuk keluar PH pada akhir Februari lalu. – Malaysiapost