KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) meletakkan 10 asas penting yang menjadi hala tuju untuk masa depan.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata asas itu merangkumi hala tuju ekonomi, pendidikan, agenda Melayu, reformasi sektor kesihatan, integriti, keselamatan dan ketenteraman awam, perpaduan serta pendigitalan negara.
“Pertama, dari segi eonomi, kerajaan sedang memberi tumpuan kepada usaha untuk memulih dan merancakkan semula ekonomi negara pasca Covid-19 menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara atau PENJANA.
“Kedua, kerajaan akan terus memberikan tumpuan kepada usaha untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan pada masa yang sama memastikan hasil kemakmuran negara dikongsi secara adil dan saksama oleh seluruh warga negara tanpa mengira perbezaan kaum, agama, status sosial dan wilayah.
“Ketiga, kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Agenda Bumiputera sebagai agenda nasional. Bagi meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam pelbagai sektor ekonomi, kerajaan telah menubuhkan Majlis Kemakmuran Bumiputera yang dipengerusikan oleh saya sendiri,” katanya.
Beliau berkata, asas keempat adalah memberi tumpuan kepada usaha pendigitalan Malaysia menerusi pelaksanaan Pelan Tindakan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
“Kelima, memastikan Malaysia mempunyai jaminan makanan yang mencukupi akan menjadi salah satu teras utama pentadbiran kerajaan PN. Justeru, Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara diwujudkan untuk meneliti segala dasar, inisiatif dan program yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan dan swasta untuk menambah pengeluaran makanan dalam negara.
“Keenam, kerajaan PN akan meneruskan komitmen kepada usaha membanteras rasuah menerusi pelaksanaan Pelan Anti-Rasuah Nasional. Selain itu, usaha-usaha reformasi institusi akan dilaksanakan demi mewujudkan sebuah pentadbiran yang kompeten, telus dan berintegriti,” katanya.
Menurutnya, asas ketujuh pula membabitkan bidang pendidikan dengan memberikan keutamaan demi melahirkan modal insan negara yang berkemahiran, berpengetahuan dan berbudi pekerti mulia dengan beberapa aspek sudah diperhalusi.
“Kelapan, reformasi dalam sektor kesihatan juga akan menjadi keutamaan kerajaan PN. Wabak Covid-19 yang melanda dunia dan negara kita amat menguji kualiti dan kesiapsiagaan sistem kesihatan negara.
“Kesembilan, aspek keselamatan dan ketenteraman awam akan diberikan keutamaan oleh kerajaan. Rakyat mesti berasa selamat untuk tinggal di negara ini. Usaha untuk mengurangkan kadar jenayah, mengawal sempadan negara daripada diceroboh, memelihara kedaulatan wilayah, memerangi keganasan dan menangani masalah pendatang asing tanpa izin akan diberikan keutamaan,” katanya.
Muhyiddin berkata, yang terakhir adalah perpaduan kaum dan keharmonian antara masyarakat berbilang agama akan terus dipupuk serta dipertahankan.
“Usaha ini tentunya memerlukan kesedaran, sokongan dan dokongan seluruh rakyat Malaysia dari Perlis hingga ke Sabah. Kerajaan menubuhkan sebuah kementerian khusus iaitu Kementerian Perpaduan Negara untuk melaksanakan pelbagai program dan dasar yang bertujuan untuk memperkukuhkan perpaduan nasional,” katanya. – Malaysiapost

