Lanjutkan moratorium bantu rakyat terkesan Covid-19 – Noraini

0
1

WANITA Umno berharap kerajaan mempertimbangkan cadangan untuk kembali melaksanakan moratorium sepenuhnya kerana rakyat masih terkesan dengan pandemik Covid-19.

Ketuanya, Datuk Noraini Ahmad berkata, kerajaan telah melaksanakan moratorium ketika pandemik Covid-19 melanda negara dan tindakan ini benar-benar membuatkan rakyat mampu menarik nafas lega.

“Umum mengetahui setelah moratorium tamat, kerajaan telah melaksanakan pula moratorium bersasar yang memberi fokus kepada golongan benar-benar memerlukan.

“Sebenarnya, denyut nadi rakyat amat mengharapkan agar moratorium dilanjutkan kepada semua tanpa mengira golongan B40 atau tidak.

“Kerana apa? Kerana rakyat sebenarnya masih terhimpit dengan keadaan ekonomi keluarga yang masih belum pulih,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bukan hanya golongan yang hilang pekerjaan tetapi mereka yang dipotong gaji, mempunyai tanggungan yang ramai walaupun pendapatan bulanan agak besar.

” Mereka adalah antara golongan yang amat mengharapkan moratorium dipanjangkan sehingga Disember tahun ini.

“Justeru, Wanita UMNO amat berharap agar kerajaan mempertimbangkan untuk kembali melaksanakan moratorium sepenuhnya.

“Apatah lagi minggu lalu bank-bank utama Malaysia mengumumkan keuntungan bagi tempoh suku tahun kedua (April hingga Jun) tahun 2020 walaupun dalam tempoh tiga bulan paling susah di mana bank diarahkan untuk memberi moratorium pinjaman serta operasi bank terganggu akibat tempoh PKP yang paling ketat, ” katanya.

Jelas Menteri Pengajian Tinggi itu, pengumuman ini secara tidak langsung menunjukkan bank masih mampu bertahan walaupun diancam krisis Covid-19 selain diarahkan untuk memberi moratorium pinjaman.

“Sudah pasti, rakyat akan bersyukur dan berterima kasih sekiranya moratarioum ini dilanjutkan. Kita kerajaan prihatin… suara rakyat kita dengar,” katanya. -Malaysiapost