SEORANG lelaki nyaris dicabul seorang lelaki lain selepas ditarik masuk ke dalam kereta dalam kejadian di Batu 4, Gombak, Sabtu lalu.
Dalam kejadian 9.30 malam itu, suspek sempat membuka seluarnya sebelum mangsa menendang kemaluan lelaki gila seks tersebut lalu melarikan diri.
Berdasarkan laporan Harian Metro yang memetik sumber, sebelum kejadian mangsa berusia 23 tahun berada di hadapan rumahnya seorang jiran memberitahu ada lelaki ingin bertemunya.
Menurutnya, tanpa mengesyaki apa-apa mangsa pergi ke kereta tersebut sebelum tiba-tiba ditarik masuk ke dalam kenderaan.
“Dia cuba menjerit meminta pertolongan tetapi tiada siapa yang menyedarinya sebelum suspek membuka seluar.
“Terkejut dengan tindakan lelaki itu, mangsa menendang kemaluannya dan melarikan diri,” katanya.
Sumber itu berkata, suspek kemudian mengejar mangsa dan menarik rambut serta menghempas kepalanya ke dinding rumah jiran.
“Malah mangsa yang terbaring turut dicekik dan ditumbuk di hidung sehingga berdarah.
“Suspek kemudian melarikan diri selepas kejadian itu disedari jiran dan mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk menerima rawatan,” katanya.
Dia yang bimbang dengan keselamatan diri kemudian tampil membuat laporan di Balai Polis Setapak untuk tindakan selanjutnya.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Rajab Ahad Ismail mengesahkan menerima laporan daripada mangsa dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan.- Malaysiapost

