KKM kenal pasti Kluster Bunga

0
2

[Covid-19] KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan satu kluster baharu yang terpencil (isolated) telah dikenalpasti melibatkan kakitangan yang bertugas dalam  sebuah kapal di Pelabuhan Port Dickson, Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kapal yang terlibat itu mempunyai sejarah perjalanan dari Pelabuhan Singapura.

Katanya, seramai 34 kru kapal telah disaring pada 28 Ogos bagi tujuan log masuk dan keluar kapal.

“Daripada jumlah itu, empat kes dikesan positif Covid-19, enam individu negatif dan 24 masih menunggu keputusan.
“Kes positif kluster ini melibatkan dua orang warga Malaysia dan dua bukan warganegara.

“Keempat-empat kes positif ini tidak bergejala dan pada awalnya dikuarantin di sebuah hotel di Selangor,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, setelah dikesan positif, mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh, Selangor.

“Justeru, tidak membawa risiko penularan jangkitan di dalam komuniti kerana ia merupakan kluster import yang terpencil di sebuah kapal.

“Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan seperti proses nyah kuman dan proses nyah cemar telah dijalankan di kapal tersebut. Punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya. – MalaysiaPost