Kluster Tawar catat satu lagi kes baharu

0
2

[Covid-19] TERDAPAT satu kes baharu dilaporkan bagi Kluster Tawar di negeri Kedah, menjadikan jumlah kes dikesan positif Covid-19 bagi kluster itu kini 74 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata sehingga jam 12 tengah hari tadi, seramai 16,462 orang telah disaring dalam kluster ini.

Di Kedah, katanya, seramai 15,917 orang telah disaring dengan 67 kes dikesan positif Covid-19; 12, 597 individu negatif dan 3,257 individu masih menunggu keputusan.

“Seramai 534 individu disaring di Pulau Pinang yang mana 11 kes dikesan positif Covid-19 dan 523 individu negatif.

“Perak pula kekal 11 saringan, di mana semua adalah negatif dan tiada saringan baharu dijalankan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata daripada keseluruhan jumlah saringan di Kedah, 12,553 orang adalah dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran yang membabitkan tiga zon.

Zon berkenaan ialah Kenanga, Mawar dan Melur di Amanjaya, namun setakat ini tiada kes baharu dilaporkan dalam zon tersebut.

“Sebanyak 8,084 dilaporkan negatif Covid-19 dan 4,469 masih menunggu keputusan ujian makmal,” katanya.