PRN Sabah: PCS janji wujudkan Kementerian Sumber Asli dan Gas

0
2

SEBUAH kementerian baharu akan diwujudkan bagi mengurus sumber asli dan gas Sabah jika Parti Cinta Sabah (PCS) menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN), 26 September ini.

Bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, berkata itu janji beliau dan PCS jika rakyat Sabah memilih parti berkenaan untuk menerajui kerajaan negeri selepas PRN nanti.

“Ini janji saya dan PCS. Bila kami mentadbir Sabah, kami akan tubuhkan sebuah Kementerian Sumber Asli dan Gas untuk pastikan hak rakyat Sabah ke atas kekayaan negeri kita ini terjamin,” katanya dalam hantaran di laman Facebook beliau.

Bekas Ahli Parlimen Kimanis itu turut berkongsi video ucapannya mengenai janji mewujudkan kementerian berkenaan dalam  satu majlis perjumpaan bersama penyokong PCS.

Hantaran itu mendapat lebih 300 komen daripada warganet, ramai yang menyatakan sokongan dan tidak kurang juga mempertikai kenapa sekarang cadangan itu dibangkitkan, selain ada yang meminta penjelasan sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak.

Seorang warganet yang menggunakan nama Nicklos Wayan, berkata beliau bimbang perkara itu tidak mampu dilaksanakan walaupun PCS menang dalam PRN nanti.

“Saya berharap janji yang YB Dato ucapkan ini disertai kajian terperinci yang menjelaskan betul-betul keboleh laksana janji ini sewenangnya tanpa ada halangan bila perintah.

“Takut-takut nanti bila menang mandat lima tahun kita tidak mampu laksanakan pula dan kena tagih rakyat… no more second change Dato..apa yang kita janji akan diingat oleh rakyat,” katanya.

Bagi seorang lagu warganet menggunakan nama Ibrahim Bra Bra, sebagai rakyat biasa, mereka hanya mahu yang terbaik daripada kerajaan.

“Semoga apa yang Datuk katakan ini akan menjadi kenyataan. Kami sebagai rakyat biasa mahu yang terbaik dari kerajaan yang mentadbir negeri Sabah ini,” katanya.

Sementara itu, Zul Masterpiece pula berkata rakyat Sabah lebih memerlukan pembelaan taraf hidup dan peluang pekerjaan.

“Rakyat nak isu sara hidup Dato Sri..isu oil and gas kamu bincang bila dah tadbir… yang dah bertahun macam tu saja rakyat dah lali dah, sudahnya tetap sama. Cipta pelbagai peluang pekerjaan untuk Sabahan,” katanya.

Dalam Kabinet Sabah ketika ini tiada kementerian khusus untuk mengurus hal berkaitan sumber asli dan gas.

Isu mengenai sumber asli khususnya petroleum dan gas sering dibangkitkan di Sabah terutama  berkait dengan tuntutan royalti dan kuasa negeri terhadap perlombongan galian berkenaan. – Malaysiapost