Nurul Huda Abhar
PEMBANGKANG perlu bersatu untuk mendapat sokongan rakyat dan jangan menonjolkan kelemahan sendiri kerana itu hanya menguntungkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, tindakan beberapa pemimpin yang membuat keputusan bergerak dengan haluan sendiri hanya merosakkan lagi hubungan sedia ada.
“Ada yang kata keputusan Slim bukti Pejuang ditolak rakyat dan Tun hilang ‘daya tarik’. Sebenarnya ia membuktikan pembangkang perlu bersatu dan usaha menunjukkan kelemahan sendiri hanya menguntungkan PN.
“Tiada yang boleh bersendirian. Rapatkan saff seperti semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14,” katanya dalam satu hantaran di laman Twitter hari ini.
Menurut Khalid, kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRK Slim adalah bukti kekuatan sekiranya semua pihak berkerjasama memberikan sokongan.
Tambahnya, tidak perlu memandang rendah kepada konsep kesatuan PN walaupun kerajaan tersebut dilabel kerajaan “pintu belakang”.
“Keputusan Slim menunjukkan kerjasama ‘Bersatu-Umno-Pas” amat berpontensi menguasai politik negara.
“Kesatuan atas dasar “khianat, rompak dan jual agama” kali pertama dihadapi dan untuk menghadapinya kita juga perlu bersatu. Jangan pandang remeh dan peranan setiap pihak diperlukan,” katanya lagi.
Semalam, calon BN, Mohd Zaidi Aziz memenangi PRK DUN Slim, menewaskan dua calon bebas Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, dan Santhara Sekaran Subramaniam.
PRK Slim adalah PRK ke-12 selepas Pilihanraya Umum (PRU) Ke-14 dan yang kedua buat Perikatan Nasional (PN) selepas mengambil alih kepimpinan negara daripada Pakatan Harapan (PH) pada Mac lalu. – Malaysiapost

