Anjing diwarnakan harimau, kejadian luar negara – PHM

0
2

KEJADIAN seekor anjing yang diwarnakan menyerupai harimau, yang viral di media sosial baru-baru ini, dikesan berlaku di luar negara.

Presiden Persatuan Haiwan Malaysia (PHM), Arie Dwi Andika berkata, pihaknya mengetahui kejadian itu berlaku di luar negara menerusi beberapa maklum balas yang diterimanya.

“Kita menerima ratusan maklum balas daripada warganet sebaik sahaja persatuan itu memuat naik hantaran berkenaan di Facebook dengan menawarkan ganjaran hadiah kepada individu yang mempunyai maklumat berhubung penganiayaan terhadap seekor anjing.

“Kami dimaklumkan mungkin kejadian itu berlaku di Vietnam, Filipina atau Venezuela dan tujuan kami tularkan kejadian itu supaya kita dapat maklumat sahih mengenai penganiayaan haiwan berkenaan,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.

Menurut Arie, walaupun dimaklumkan kes itu berlaku di luar negara, PHM tidak menerima maklumat itu begitu saja.

“Kita tidak boleh terima maklumat ini bulat-bulat selagi tiada fakta asas kukuh mengenai kejadian itu,” katanya.

Katanya, ratusan maklum balas diterima daripada netizen mengatakan kejadian berlaku di pelbagai lokasi.

“Kita berharap sangat kejadian ini tidak berlaku dalam negara,” katanya.

Semalam, Malaysia Post melaporkan, PHM menawarkan ganjaran hadiah kepada pemberi maklumat berhubung tindakan pihak tertentu mewarnakan anjing menyerupai harimau.

Dalam hantaran di Facebook, persatuan itu turut berkongsi gambar anjing berkenaan, bagaimanapun tidak dapat dipastikan tempat dan masa kejadian. – Malaysiapost