SERAMAI 55 individu dikenakan kompaun, manakala 27 lagi direman kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dua individu telah dijamin semalam.
Kata beliau, kesalahan mereka melibatkan aktiviti dalam pub atau kelab malam menjadi penyumbang tertinggi, apabila 45 orang dikenakan tindakan.
Jelasnya, antara kesalahan lain ialah tidak memakai pelitup muka (10), aktiviti melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan fizikal (17), premis beroperasi lebih masa (2), serta gagal menyediakan peralatan dan catatan keluar masuk premis (17) serta tangkapan Pendatang Tanpa Izin (PATI) (2).
Ismail Sabri berkata, pihak berkuasa juga semalam membuat pemantauan di 3,881 pasar raya, 4,996 restoran, 1,090 penjaja, 1,818 kilang, 3,446 bank, dan 966 pejabat kerajaan.
Juga dipantau, 1,107 terminal pengangkutan darat, 224 terminal pengangkutan air serta 131 terminal udara.
Sementara itu, katanya, polis telah mengadakan 62 sekatan jalan raya dalam Operasi Benteng dan memeriksa 28,309 kenderaan bagi mengekang kemasukan PATI.
“Kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram.
“Agensi penguatkuasaan akan terus mengetatkan kawalan Kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” ujarnya lagi. – Malaysiapost

