Muhammad Mustakim Ramli
RAKYAT Malaysia perlu sentiasa cekal dan menerapkan prinsip Rukun Negara yang berteraskan nilai keamanan, perpaduan dan keharmonian dalam kehidupan seharian, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique.
Beliau berkata, ini kerana ia menjadi asas yang membentuk kemerdekaan tanah air dan memainkan peranan penting dalam pembangunan negara.
Kata beliau, kepelbagaian bangsa, agama dan budaya adalah tonggak utama yang mencorakkan tanah air tercinta ini.
“Kitalah nadi negara dan kita harus hargai khazanah yang tidak ternilai ini.
“Pembangunan negara kita adalah hasil daripada usaha dan kematangan semua rakyat secara bersama,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Kebangsaan ke-63, hari ini.
Halimah berkata, seiring negara melangkah ke hadapan, semua pihak harus memainkan peranan masing-masing demi memastikan keharmonian dan perpaduan terpelihara.
Lebih penting lagi, kata beliau, semangat itu perlu dipupuk dalam hati dan minda golongan muda agar Malaysia terus maju dari segi sosial dan ekonomi.
Kata beliau lagi, meskipun sambutan tahun ini berbeza dari terdahulu berikutan Covid-19, perasaan cinta terhadap ibu pertiwi dan kekuatan sebagai sebuah masyarakat yang bersatu padu tetap teguh.
“Walau apa jua cabaran melanda, pandemik global sekali pun tidak akan mampu mematahkan semangat perpaduan kita.
“Marilah kita semua sentiasa menjaga diri dengan baik dan semoga Malaysia terus diberkati sebagai sebuah negara yang dinamik, maju dan bersatu,” katanya. -Malaysiapost

