TAN Sri Muhyiddin Yassin perlu berhenti mencari sokongan menjelang perbentangan bajet Oktober ini, kata Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Beliau berkata, Perdana Menteri itu dilihat begitu sibuk membuat rundingan agar parti Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) terus mendapat sokongan serta mengekalkan kuasa sehingga tempoh mandat PRU14 tamat dua tahun lagi.
“Muhyiddin kini sibuk nak ke sana ke sini dan mengemukakan bermacam cadangan supaya Ahli-ahli Parlimen termasuk dari blok pembangkang memberi sokongan kepada kerajaan yang dipimpinnya ketika pembentangan bajet nanti. Dia juga sedaya upaya nak bertahan sampai habis penggalnya.
“Saya nak tanya, sampai bila dia nak ke sana ke sini dan berapa lama dia dapat bertahan dalam sebuah kerajaan yang tidak stabil ini?” katanya kepada media hari ini.
Tambah Nur Jazlan, Muhyiddin telah memilih jalan yang sukar dalam usahanya untuk menyelesaikan masalah politik dalamannya.
Katanya, pelaksanaan PRU secepat mungkin adalah jalan terbaik untuk menyelesaikan kemelut politik negara sekarang dan kerajaan yang lebih kukuh akan terbina.
Selain itu, beliau berharap, Muhyiddin meneliti cadangan yang telah dibuat Presiden Umno dan PAS yang mahukan PRU ke-15 diadakan dalam waktu terdekat ini.
“Dengan kekuatan Muafakat Nasional (MN) dan PN ketika ini, saya percaya kita boleh menang dengan majoriti yang lebih kukuh.
“Bila kerajaan baharu yang lebih stabil dapat didirikan selepas pilihan raya nanti, banyak kemelut politik mampu diselesaikan. Saya percaya Muhyiddin faham perkara ini,” katanya lagi.
Pada masa sama, beliau yang juga Ketua Umno Bahagian Pulai bersetuju kenyataan Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah yang mahukan semua Ahli Parlimen Umno dalam kerajaan PN meletakkan jawatan berikutan Bersatu membuka kemasukan kepada ahli bukan Melayu ke dalam parti itu.
Beliau mengulas, tindakan tersebut melanggar prinsip asas penubuhan MN, yang berdiri atas muafakat parti Melayu-Islam.
“Cadangan penubuhan sayap bukan Melayu dalam Bersatu bertentangan sama sekali dengan konsep dan keharmonian MN, jadi buat apa Ahli Parlimen Umno nak duduk lagi dalam kerajaan PN?
“Pemimpin-pemimpin dari Umno ini kena ingat kedudukan dan masa depan mereka ditentukan oleh ahli akar umbi yang sebenarnya marah dengan ‘permainan politik’ Bersatu,” katanya.
Tambahnya, jika kini Bersatu boleh mengubah haluan dan membuat beberapa langkah berlainan selepas seminggu bersetuju menyertai MN, kemungkinan besar parti tersebut akan membuat beberapa lagi “u-turn” selepas ini. – Malaysiapost

