JENDELA platform penambahbaikan komunikasi digital negara – PM

0
1
PUTRAJAYA, April 25 -- Prime Minister Tan Sri Muhyiddin Yassin during special interview at his office at Perdana Putra today. --fotoBERNAMA (2020) COPY RIGHTS RESERVED

Muhammad Mustakim Ramli

JALINAN Digital Negara (JENDELA) akan menjadi platform penambahbaikan komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bagi tempoh 2021 hingga 2025, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, pelan tindakan JENDELA yang dirangka melalui satu sesi makmal akan menjadi landasan kepada penyediaan liputan perkhidmatan jalur lebar yang menyeluruh dan berkualiti tinggi serta mempersiapkan negara untuk peralihan kepada teknologi 5G secara mantap.

Katanya, JENDELA akan dilaksanakan secara berfasa, dengan fasa pertama yang bermula sekarang akan memperluaskan liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus di kawasan berpenduduk.

“Selain itu, ia akan mempertingkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih daripada 25Mbps kepada 35Mbps serta membolehkan sebanyak 7.5 juta premis mendapat akses kepada jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Muhyiddin, ini juga akan melibatkan penamatan rangkaian 3G secara berperingkat sehingga akhir 2021 untuk pemantapan rangkaian 4G serta memperkukuhkan asas bagi rangkaian 5G.

Menurut beliau, fasa 2 iaitu peralihan kepada 5G akan disusuli selepas platform yang kukuh dalam fasa pertama itu dapat dicapai, selaras dengan perancangan RMK-12,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, rakyat Sabah akan turut mendapat manfaat daripada pelaksanaan JENDELA dari tahun 2020 sehingga 2022 iaitu dengan penambahan sebanyak 382 menara komunikasi baharu yang dirancang dan 924 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada akan dinaik taraf.

Turut diberikan perhatian, katanya, rakyat Sarawak apabila 636 menara komunikasi baharu juga sedang dirancang dan 977 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada akan dinaik taraf.

“Saya menyeru kepada semua pihak, termasuk kerajaan negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kementerian dan agensi berkaitan supaya terus memberikan kerjasama bagi menyokong aspirasi kerajaan untuk menjadikan perkhidmatan komunikasi sebagai kemudahan asas bagi memacu negara ke arah ekonomi digital.

“Pelan tindakan JENDELA ini akan dipantau dengan rapi bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan baik di seluruh negara,” katanya. – Malaysiapost