Muhammad Mustakim Ramli
DATUK Tamrin Ghafar tidak pasti apa tujuan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin mengaitkan namanya dengan projek runding terus kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, sebagai menteri, Zuraida tidak sepatutnya membabitkan atau menyalahkan pihak lain di atas kegagalannya.
“Saya tidak pasti apa tujuan sebenar menteri (Zuraida) mengaitkan saya dalam isu ‘runding terus’ atau ‘direct nego’ yang dibangkitkan di Parlimen oleh Menteri Kewangan di sidang Parlimen baru – baru ini.
“Amat mustahil bagi seorang menteri tidak tahu langsung perkara tersebut, sedangkan Kementerian Kewangan hanya bertindak mengikut rekomendasi KPKT,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Katanya, beliau menyerahkan segalanya kepada peguam untuk tindakan selanjutnya.
Zuraida sebelum ini dilaporkan berkata, sebagai penasihat syarikat Bumi Segar Indah, Tamrin bertemu dan berunding terus berhubung projek pindahan sisa pepejal dengan Menteri Kewangan ketika itu, Lim Guan Eng pada 26 November 2018.
Ahli Parlimen Ampang itu mendakwa, Tamrin adalah penyokong kuat PH. -Malaysiapost

