Muhammad Mustakim Ramli
DI SEBALIK kehangatan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim antara calon Barisan Nasional (BN) dan dua calon bebas, satu darinya berpihak kepada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), ada suhu ‘sejuk’ antara pemimpin parti berkenaan.
Ketika pemimpin dari Perikatan Nasional (PN) dan Pejuang memantau perkembangan mengundi, secara tiba-tiba Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki terserempak dengan Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Kedua-duanya tidak bermasam muka atau membawa haluan masing-masing, sebaliknya menunjukkan sikap matang antara satu sama lain.
Hal ini diceritakan Dr. Asyraf Wajdi menerusi akaun Facebooknya, menyatakan, beliau secara tidak sengaja terserempak dengan bakal Presiden Pejuang itu di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Trolak Utara.
“Kami terserempak. Lalu Datuk Seri Mukhriz beritahu saya, “cantik vest Pemuda BN!”.
“Saya jawab, kalau Datuk Seri nak pakai, saya hadiahkan vest saya pada Datuk Seri..,” tulisnya.
Kedua-dua mereka kemudian dilihat bergambar bersama dengan Dr. Asyraf Wajdi memakai baju rasmi BN berwarna biru, manakala Mukhriz berkemeja batik merah. – Malaysiapost


