Kita sudah menang…

0
2

Admin,

KITA yang menyokong calon Pokok, Amir Khusyairi, sudah menang. Sebelum kita tahu keputusan, kita tahu kita sudah menang. Bagi kita yang dahulunya Bersatu, kemenangan bermula tiga minggu sudah dan kemenangan dikecapi berganda-ganda sehingga ambang selesainya mengundi di PRK DUN Slim.

Kita menang dengan terpilihnya calon yang tepat, dengan talian utuh kepada penduduk Slim melalui ibunya, sekali gus dari segi keterampilan, kelayakan serta keupayaan pada usia cukup muda sehinggakan ramai teruja.

Kita menang memilihnya dari pilihan sekurang-kurangnya empat calon yang semua ada kekuatan tersendiri, termasuk mendapat sokongan calon pilihan kedua sebagai wakil calon.

Kita menang dengan persediaan jentera dan pergerakan dari sejurus sebelum penamaan calon sehingga kini, yang diakui semua penggerak pasca-Bersatu merupakan usaha yang jauh lebih mantap dari waktu PRK sebelumnya.

Apa-apa kelemahan yang memincangkan kita pada PRK DUN Semenyih dan PRK Parlimen Tanjung Piai terutama sekali, alhamdulillah sebahagian besarnya dielakkan pada kali ini.

Kita menang dengan semakin bertambahnya kemunculan kawan-kawan Bersatu dari seluruh negara sepanjang perjalanan kempen sehingga tiada tugas yang tidak terlaksana.

Hadirnya kita semua juga sukarela, membayar kos perjalanan dan belanja berkempen sendiri, kembali berkorban untuk perjuangan, kembali ke sifat lama yang seolah dilupakan oleh warga Bersatu pada PRK lepas.

Kita juga menang dengan mempereratkan serta menambah susunan persahabatan yang ada, bukan sahaja dari rakan lama dalam Pakatan Harapan (PH), tetapi juga dari kalangan pemimpin PAS yang jelas berkongsi kerunsingan mereka apabila melihat pemimpin mereka bersekongkol dengan penyangak.

Semua sekali, baik PH, mahupun PAS kini sedar kita yang bersama Tun M (Tun Dr Mahathir Mohamad) menolak Perikatan Nasional (PN) yang mengkhianat mandat rakyat.

Kita menang sekali lagi apabila simbol Pokok sebagai proksi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) lebih terserlah dari pelbagai aspek berbanding BN di PRK DUN Slim.

Inilah mimpi ngeri bagi Umno, yang kita tidak perlu suatu parti yang formal pun untuk menentang mereka. Kewujudan simbol Pokok di PRK DUN Slim bukan disatukan melalui parti, tetapi suatu prinsip perjuangan yang mudah dibahasakan sebagai perjuangan Tun, tetapi bila dihayati, ia berlandaskan kebenaran.

Kita sudah menang. Alhamdulillah, apa pun keputusan akhirnya, kita sudah menang. Namun, perjuangan belum selesai. – Malaysiapost

Penulis, Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi ialah mantan ahli Bersatu