Malaysia Airlines lanjut kerjasama rakan penerbangan rasmi FAM

0
2

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) akan terus terbang tinggi bersama rakan penerbangan rasminya, Malaysia Airlines Berhad (MAB) bagi tempoh tiga tahun lagi.

Ia selepas syarikat penerbangan kebangsaan itu menandatangani perjanjian lanjutan usahasama bagi tempoh 2021 hingga 2023 berikutan perjanjian selama dua tahun sebelum ini bakal berakhir 31 Disember ini.

Majlis perjanjian usahasama tersebut berlangsung di Hilton Petaling Jaya hari ini, antara Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam dan Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengalaman Pelanggan Kumpulan MAB, Lau Yin May sejurus selesai Kongres Tahunan FAM kali ke-56.

Ia disaksikan bersama oleh Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Aviation Group merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MAB, Kapten Izham Ismail.

Hamidin berkata, lanjutan perjanjian daripada MAB itu menjadi isyarat kerjasama yang terjalin antara kedua pihak sejak 2019 cukup baik, biarpun pelbagai program dan aktiviti dirancang untuk tahun 2020 ini terjejas akibat pandemik Covid-19.

“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Malaysia Airlines yang mana mereka tetap mahukan kerjasama yang terjalin selama dua tahun sebelum ini diteruskan lagi bagi tempoh tiga tahun akan datang.

“Bagi saya, kerjasama antara FAM dan Malaysia Airlines ini cukup simbolik kerana kedua-duanya merupakan jenama kebangsaan yang begitu sinonim dengan negara kita,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, peranan kedua-dua entiti itu kepada Malaysia adalah sama iaitu identiti pasukan kebangsaan adalah identiti perpaduan rakyat Malaysia.

“Sama seperti Malaysia Airlines, kami di FAM juga mengibarkan bendera Malaysia di mata dunia menerusi bola sepak,” katanya.

Jalinan awal kerjasama bermula apabila MAB menaja penerbangan skuad Harimau Malaya kendalian Tan Cheng Hoe bagi menghadapi Final 2 Piala Suzuki AFF 2018 di Hanoi, Vietnam pada 15 Disember 2018.

Ia disusuli majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Hamidin dan Izham di Wisma FAM, Kelana Jaya pada 21 Mac 2019 untuk MAB menjadi rakan penerbangan rasmi FAM bagi tempoh dua tahun.-Malaysiapost