KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan sebanyak 11 kes positif Covid-19 dilaporkan setakat jam 12 tengah hari tadi dengan jumlah kes di negara ini kini 9,317 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada 11 kes itu, 10 adalah kes import dan satu penularan tempatan.
Menurutnya, 10 kes import tersebut membabitkan di daerah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (lapan kes), dan Selangor (dua kes).
“Sehingga hari ini, terdapat lapan kes positif sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan enam kes yang memerlukan bantuan pernafasan.
“Adalah dimaklumkan, tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini.
“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes (1.34 peratus daripada jumlah keseluruhan kes),” katanya. – Malaysiapost

