Zuraida tidak layak jadi menteri – Guan Eng

0
2

Nurul Huda Abhar

MENTERI Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin diminta mendedahkan surat permohonan kementeriannya kepada Kementerian Kewangan bagi projek rudingan terus Sisa Pepejal Taman Beringin yang bernilai RM170.3 juta.

Bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, dakwaan menteri itu, yang beliau telah meluluskan projek tersebut tanpa pengetahuannya adalah bohong sama sekali.

“Ini perkara yang mustahil. Saya ingin tegaskan, amalan biasa ialah kementerian yang bertanggungjawab akan memohon kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk projek runding terus. Justeru, semestinya akan ada surat dari KPKT kepada MOF.

“Surat permohonan itu sepatutnya dihantar pada tahun 2018 dan ditulis oleh pegawai kanan berpangkat Ketua Setiausaha (KSU) memandangkan projek ini melibatkan jumlah besar, iaitu sebanyak RM170.3 juta.

“Zuraida tidak boleh menafi ada surat permohonan sedemikian dan saya mencabar beliau untuk mendedahkannya supaya rakyat boleh mengetahui perkara sebenar,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Guan Eng menambah, tidak mungkin KPKT menulis surat rasmi tanpa kebenaran Zuraida dan jika didapati tindakan itu berlaku, maka pegawai yang terlibat harus dikenakan tindakan displin.

Beliau juga mempersoalkan kredibiliti Zuraida sebagai Menteri KPKT jika benar terdapat permohonan dibuat di luar pengetahuannya.

“Saya tidak percaya KSU KPKT seorang yang sanggup bertindak “khianat” walaupun terhadap menteri “pengkhianat”. Ataupun Zuraida begitu jahil mengenai perihal kementeriannya sehingga tidak tahu KSU telah membuat permohonan runding terus kepada MOF.

“Sekiranya ini benar, Zuraida memang tidak layak “not fit and proper” memegang jawatan menteri,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, Guan Eng meminta KPKT mendedahkan surat serta fakta yang berkaitan dengan isu runding terus yang sedang dibangkitkan, agar rakyat dapat menilai kebenarannya.

Tambahnya, pendedahan projek runding terus tidak seharusnya dari pentadbiran Pakatan Harapan (PH) sahaja, malah perlu didedahkan senarai itu dari pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) juga.

Ini kata beliau, bagi mengelakkan isu tersebut digambarkan sebagai mainan politik bagi sesetengah pihak yang sengaja hendak mengeruhkan keadaan.

“Sekiranya tidak mahu isu ini dipolitikkan, Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz harus mendedahkan projek runding terus di zaman BN, dan yang penting projek yang diluluskan oleh beliau sendiri dalam kerajaan PN.

“Biar rakyat buat penilaian sendiri, kerajaan mana yang mendokong prinsip akauntabiliti dan ketelusan. Jangan ada double-standard atau “antara dua darjat” seperti Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang hanya berhasrat mengkaji projek runding terus PH, tetapi tidak pada projek runding terus BN dan PN,” ujarnya. – Malaysiapost