PRN Sabah: Pajakan tanah 999 tahun dasar baharu kerajaan Warisan

0
2

Awang Abdullah

KEPUTUSAN memanjangkan tempoh pajakan tanah berstatus pajakan negara (CL) kepada 999 tahun di Sabah dibuat berdasarkan dasar baharu diperkenalkan kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata kerajaan negeri tetap melaksanakan dasar baharu itu tidak kira berlaku tuntutan di mahkamah atau tidak berhubung pemanjangan tempoh berkenaan.

Katanya, kerajaan negeri tahu ada tuntutan di mahkamah untuk meminta tempoh pajakan 99 tahun yang ada sekarang dipanjangkan kepada 999 tahun.

“Saya tegaskan di sini dan ingin menjawab tuduhan sesetengah pemimpin politik yang mendakwa langkah kerajaan memanjangkan tempoh pajakan tanah kepada 999 tahun disebabkan ada kes mahkamah yang sedang berjalan.

“Untuk makluman semua, keputusan itu adalah atas polisi kerajaan sama ada mahu melaksanakannya atau tidak, justeru tiada kena mengena dengan kes mahkamah itu.

“Hakikatnya, dasar kerajaan terdahulu ialah tempoh pajakan hanya 99 tahun, justeru Kabinet negeri berbincang dan bersetuju memanjangkan tempoh itu untuk membantu pemaju serta rakyat dalam pemilikan hartanah,” katanya dalam satu kenyataan berhubung isu pajakan tanah.

Presiden Warisan itu berkata kerajaan boleh membuat rayuan di mahkamah jika tidak bersetuju dengan tempoh pajakan 999 tahun yang dituntut pihak pemaju sebelum ini.

“Saya bincang dalam Kabinet, ada kes mahkamah, saya tahu kes mahkamah, kita boleh rayu lawan mahkamah tapi saya tahu saya perlu tolong kawan-kawan kontraktor.

“Saya cakap cukup dengan 99 tahun, saya mahu berikan kepada pemaju kita 999 tahun. Tapi, bila saya bagi ini Ketua Menteri dicakap hipokrit, ini mahkamah punya keputusan.

“Mahkamah punya keputusan anda cuma boleh merayu, polisi kerajaan sebelum ini 99 tahun tetapi saya tukar kepada 999 bukan ditukar oleh mereka, itu bukan ditukar oleh mahkamah tetapi kerajaan negeri dalam Kabinet,” katanya.

Jelasnya, keputusan memanjangkan tempoh pajakan kepada 999 tahun itu disambut baik bukan saja oleh golongan pemaju tetapi rakyat sendiri dalam pemilikan hartanah.

Bagaimanapun, katanya, pembangkang yang melihat sambutan baik terhadap dasar itu kemudian memainkan propaganda kononnya tempoh pajakan kepada 999 tahun itu disebabkan ada kes mahkamah terhadap tempoh 99 tahun yang dilaksanakan sebelum ini.