SELEPAS pemimpin Umno, kali ini giliran PAS mengusulkan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan dengan kadar segera.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, parti Islam itu berharap PRU15 dapat diadakan segera atas alasan menolak fitnah selain menguatkan kerajaan dengan mandat baharu rakyat.
Beliau dalam pada itu bertegas bahawa kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukan kerajaan pintu belakang seperti diungkapkan pemimpin pembangkang.
“Mandat rakyat itu perlu sebab majoriti kita sikit dan perlu PRU segera.
“Itu pandangan saya, PRU ini terpulang pada Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) untuk bincang bila perlu dapat mandat,” katanya seperti dilaporkan BH Online hari ini.
Abdul Hadi juga dilaporkan berkata, kerajaan hari ini adalah kerajaan yang sah mengikut proses demokrasi dan Perlembagaan serta mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
“Saya rasa tak timbul (kerajaan) pintu belakang sebab kerajaan (PN) ikut proses demokrasi yang betul, kita nak tolak fitnah saja,” katanya.
Beliau menegaskan PRU segera perlu kerana negara memerlukan satu kerajaan yang kukuh untuk mendapatkan dukungan rakyat selain kekuatan di Parlimen.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam tadi dilaporkan berkata, PN tidak mempunyai pilihan selain perlu mendapat mandat baharu rakyat dengan mengadakan PRU dalam masa terdekat bagi membentuk kerajaan yang lebih kukuh.
Pandangan sama dilontarkan Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa. – Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang

