BUKIT Aman mengesahkan telah mengambil keterangan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali serta beberapa individu lain bagi membantu siasatan berhubung pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed jumlah sebenar yang dipanggil hanya akan dapat ditentukan pada akhir siasatan.
Katanya, siasatan terhadap Khairuddin serta individu lain dijalankan susulan beberapa laporan diterima polis sejak seminggu lalu.
“Dari sehari ke sehari siasatan dijalankan, jumlah yang terlibat (dipanggil) mungkin akan bertambah.
“Dalam siasatan kes ini, apabila kita mula mengambil keterangan saksi atau individu tertentu, sudah pasti akan timbul individu lain yang perlu kita panggil,” katanya.
Beliau ditemui media pada lawatan kerja sempena Pemeriksaan Perintah Tetap Ketua Polis Negara (PTKPN) A117 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, hari ini.

Menjawab soalan sama isteri dan keluarga Ahli Parlimen Kuala Nerus itu turut dipanggil memberi keterangan, Huzir berkata belkau belum dapat mengesahkannya.
“Saya percaya ada penambahan (individu beri keterangan) kerana kadang-kala dari sehari ke sehari jumlahnya berubah, seiring perkembangan semasa siasatan.
“Saksi juga tidak semestinya dalam kalangan keluarga atau kakitangan pejabat menteri,” katanya.
Khairuddin dilaporkan memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman selama lebih dua jam malam tadi, susulan kegagalan beliau menjalani kuarantin wajib 14 hari setelah pulang dari Turki pada 7 Julai lalu. – Malaysiapost

