Nurul Huda Abhar
PENTADBIRAN kerajaan Perikatan Nasional (PN) Perak didakwa lewat mengiktiraf institusi pembangkang mencerminkan kelemahan yang ketara bagi pihak kerajaan.
Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak telah melantik Dr Aziz Bari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tebing Tinggi sebagai ketua pembangkang.
Menurut Kor Ming, walaupun telah empat bulan dilantik namun kerajaan Perak masih gagal menyerahkan pejabat Ketua Pembangkang di bangunan Perak Darul Ridzuan.
“Tiada kakitangan, tiada peralatan pejabat, tiada kereta rasmi, tiada gaji dan elaun seperti mana diperuntukkan oleh kerajaan Pakatan Harapan kepada Ketua Pembangkang dari Umno iaitu Datuk Saarani pada 2018.
“Kelewatan dan sikap tidak bertanggungjawab ditunjukkan kerajaan negeri PN hari ini merupakan satu kelembapan pentadbiran serta penghinaan besar kepada institusi DUN Perak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menambah, tindakan itu adalah penghinaan kepada sistem demokrasi berparlimen negara seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Kor Ming yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan berpendapat sikap berat sebelah ditunjukkan kerajaan negeri PN seharusnya tidak wujud dalam institusi pentadbiran negara.
“Saya menggesa kerajaan Perak mengambil tindakan segera mengatasi masalah ini supaya sistem demokrasi negara kita tidak terus dicemar oleh amalan diskriminasi yang kurang matang dan jelas melanggar doktrin pengasingan kuasa,” ujarnya. – Malaysiapost

