KONTROVERSI dalam keluarga Allahyarham Abam semakin memuncak apabila pelawak, Ali Puteh menfailkan saman terhadap kakak iparnya, Siti Norhidayah Mohd Ali.
Difahamkan, saman tersebut dikeluarkan oleh Ali selaku plaintif keempat bersama ibunya Sabariah Arshad (plaintif pertama), bapa Syed Mohd Ridzuan (plaintif kedua) dan kakak sulung Sharifah Norwahidah (plantif ketiga).
Sebutan kes ini telah berlangsung di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur semalam.
Menurut Ali, keputusan untuk mengeluarkan saman itu adalah tindakan balas terhadap Hidayah yang telah memfailkan saman terhadapnya terlebih dahulu.
“Pihak mereka mengeluarkan saman terhadap kami dahulu. Selepas mendapat nasihat daripada peguam saya, beliau menyarankan agar kami pula mengambil tindakan terhadap Hidayah.
“Itupun selepas perbincangan dan mengambil kira beberapa faktor seperti kesan emosi kami sekeluarga sebaik sahaja video Hidayah bersama jutawan kosmetik Aliff Syukri menjadi tular,” katanya seperti dilaporkan Astro Gempak semalam.
Tambah Ali, akibat video yang tular tempoh hari, keluarga dan ibunya amat terkesan dengan tohmahan masyarakat.
Menurutnya, tindakannya membawa kes ini ke mahkamah hanya mahu membersihkan maruah keluarga, terutama apabila Hidayah mendakwa telah dihalau sehelai sepinggang.
“Semoga kebenaran akan terjawab selepas ini. Mungkin inilah yang Allah SWT nak tunjukkan selepas kami sekeluarga bersabar sekian lama. Saya bersyukur.
“Apapun saya maafkan semua yang telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap kami sekeluarga,” katanya.
Menjawab dakwaan plaintif, Hidayah selaku defendan kedua mengaku membawa duit tabung berisi wang kertas didakwa hasil tabungan bersama Allayarham suami dan empat utas jam tangan keluar dari rumah.
Selain itu, Hidayah mengakui mengeluarkan wang berjumlah RM10,000 dari akaun bank milik Allahyarham dan mendakwa telah memasukkan kesemuanya ke dalam akaun anak Syed Uthman Hamzah Al-Juffrey Syed Umar Mokhtar Al-Juffrey.
Menurut Hidayah, tindakan itu diambil kerana bimbang direbut plaintif. Malah dia juga tidak bertanggung jawab terhadap semua kenyataan yang dibuat defendan kedua (Aliff Syukri) atau wakil ejennya dalam rakaman video yang tular sebelum ini. – Malaysiapost

