Awang Abdullah
BEKAS Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman, menyalahkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai punca provokasi terbaru Filipina berhubung tuntutannya ke atas Sabah.
Presiden Parti Cinta Sabah (PCS) itu mendakwa Mohd Shafie mengambil langkah kurang bijak bagi menangani isu itu seperti membawanya ke Mahkamah Arbitrasi Antarabangsa.
Katanya, tindakan itu bertentangan dengan pendirian bahawa Malaysia tidak mengiktiraf atau memberi sebarang legitimasi dalam apa bentuk dan tidak akan melayan apa-apa tuntutan ke atas Sabah daripada mana-mana pihak.
“Sabah telah diiktiraf oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan komuniti antarabangsa sebagai sebahagian daripada Malaysia sejak pembentukannya pada 16 September 1963.
“Sewaktu saya Menteri Luar Malaysia, Filipina tidak pernah sebegitu berani seperti sekarang ini.
“Isu ini timbul semula kerana Ketua Menteri Interim telah secara semberono memberi legitimasi terhadap tuntutan itu melalui keinginan beliau untuk berbincang dan berunding dengan Filipina,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, tindakan itu secara automatik mengiktiraf bahawa adanya tuntutan, bertentangan dengan pendekatannya selama ini yang mengekalkan dasar tidak mengiktiraf sebarang tuntutan.
Tegasnya, kesilapan itu adalah kesalahan Mohd Shafie kerana beliau tiada pengalaman atau ilmu menyebabkan Filipina lebih berani dengan tuntutan kosong mereka terhadap Sabah.
“Ini memperlihatkan kejahilan Ketua Menteri Interim dalam soal sejarah dan undang-undang antarabangsa, yang boleh memudaratkan kedaulatan kita.
“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa sebarang tuntutan Filipina terhadap Sabah adalah tidak relevan, tidak diiktiraf, dan tidak harus diberi legitimasi.
“Sebagai contoh, ia tidak seharusnya dibawa untuk perbicaraan atau didengar oleh mana-mana Mahkamah Arbitrasi Antarabangsa. Sabah adalah sebahagian daripada Malaysia dan akan terus kekal sedemikian rupa,” katanya.
Kata Anifah, tindakan Mohd Shafie melayan tuntutan Filipina di mahkamah arbitrasi sebagaimana yang diterangkan beliau sebelum ini, boleh disamakan dengan ‘memperjudikan kedaulatan Sabah’ di dalam tangan mahkamah arbitrasi itu.
“Saya ingin bertanya kepada beliau, kalaulah disebabkan oleh kelemahan beliau dan pasukan beliau dalam mempertahankan kedaulatan Sabah, Mahkamah Arbitrasi Antarabangsa di Sepanyol membuat keputusan yang memihak kepada Filipina, apakah yang akan beliau buat seterusnya?
“Pada pendapat saya, beliau berkemungkinan menjadi individu yang menyebabkan Sabah hilang kedaulatan.
“Tindakan beliau berdiam diri dalam isu ini mungkin boleh disimpulkan sebagai ‘binding his own feet’ – di mana beliau tidak boleh membuat apa-apa kenyataan yang boleh menjejaskan kes ini di Mahkamah Arbitrasi Antarabangsa, yang ‘diberi legitimasi’ oleh beliau,” katanya.
Anifah seterusnya menasihatkan Mohd Shafie agar mengambil masa dan belajar lenggok serta ilmu dalam hubungan diplomasi, atau menyerahkan perkara itu untuk dikendalikan oleh pihak yang lebih arif agar kesilapan yang berkait dengan perihal kedaulatan Sabah, dapat dielakkan.
Sebelum ini, Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina dilapor membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320 kilometer Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah di dalam pasport negara itu.
Tindakan itu dianggap satu bentuk provokasi Manila berhubung tuntutannya terhadap Sabah. – Malaysiapost
