Projek rundingan terus era PH RM352 juta, bukan RM6.6 bilion- Guan Eng

0
2

Nilam Oshman

PROJEK rundingan terus kerajaan Pakatan Harapan (PH) hanya RM352 juta, bukan RM6.61 bilion seperti didedahkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, kata bekas Menterinya, Lim Guan Eng.

Sebaliknya, beliau mendakwa RM6.61 bilion yang dimaksudkan itu adalah membabitkan projek rundingan terus yang diwarisi era kerajaan Barisan Nasional (BN).

Menurut Guan Eng, kebanyakan projek itu bukan inisiatif baharu PH, tetapi diwarisi atau sambungan dari zaman BN yang mana PH meneruskannya dengan pemotongan kos yang menghasilkan penjimatan ketara.

“Apa yang mengejutkan ialah rupa-rupanya projek rundingan terus di bawah inisiatif PH bukanlah RM6.61 bilion seperti diwar-warkan, tetapi sebenarnya RM352 juta! Baki RM6.258 bilion pula ialah projek diwarisi dan dari zaman BN yang terpaksa diteruskan PH.

“Nilai projek rundingan terus RM6.61 bilion hanya 1.38 peratus daripada nilai keseluruhan perolehan oleh kerajaan pada 2018 dan 2019.

“Sekiranya hanya nilai projek yang benar-benar di bawah inisiatif PH diambil kira iaitu RM352 juta, ia bukan 1.38 peratus tapi 0.07 peratus daripada nilai keseluruhan perolehan kerajaan iaitu sebanyak RM477.38 bilion.

“Dalam kata lain, 99.93% daripada jumlah keseluruhan perolehan telah ditawarkan melalui kaedah tender bukan rundingan terus,” katanya dalam sidang media hari ini.

Guan Eng mendakwa, penipuan kedua oleh kerajaan PN ialah meletakkan projek zaman BN sebanyak RM6.258 bilion sebagai projek rundingan terus zaman PH yang hanya RM352 juta sahaja untuk menjadikan jumlah kononnya RM6.61 bilion.

“Ini salah BN, dia pula kata salah kita. Kita punya hanya RM352 juta untuk menjadikan jumlah kononnya RM6.61 bilion. Keraguan kami terbukti dengan senarai 101 projek bernilai RM6.61 bilion yang didedahkan Kementerian Kewangan semalam.

“Saya nak bagi beberapa contoh projek BN, Kementerian Kewangan letakkan dalam projek PH. Ini termasuk projek melibatkan RM4.48 bilion Kementerian Pengangkutan, sedangkan ia ditawarkan oleh kerajaan BN.

“Ini projek menaiktaraf Kemudahan Infrastruktur Landasan Berkembar Elektrik Di Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2) yang ditawarkan kepada syarikat tersebut dengan harga RM5.265 bilion oleh kerajaan BN secara rundingan terus.

“Setelah mengambil-alih kerajaan, PH mendapati harga kontrak terlampau tinggi dan Jemaah Menteri setuju untuk batal kontrak tersebut.

“Akan tetapi, syarikat kontraktor iaitu syarikat usahasama Dhaya Maju dengan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) telah merayu kepada kerajaan,” katanya.

Jelasnya, setelah rundingan menyeluruh, kerajaan PH bersetuju meneruskan projek tersebut dengan harga kontrak jauh lebih rendah iaitu RM4.475 bilion.

Katanya, penyelesaian itu juga mengelak tindakan mahkamah dan mengurangkan sebarang kelewatan ke atas projek.

“Oleh itu, Menteri Kewangan memuji kerajaan PH kerana berjaya menjimatkan wang rakyat sebanyak RM790 juta.

“Di samping itu, ada lagi empat projek di bawah Kementerian Perdagangan dan Industri Antarabangsa (MITI) bernilai RM8.18 juta dijalankan sebelum April 2018 iaitu semasa BN masih memerintah.

“Selain itu, penemuan awal mengenai senarai 101 projek menunjukkan 31 projek bernilai RM1.753 bilion merupakan projek diwarisi daripada kerajaan BN,” katanya. – Malaysiapost