Tak wajib tulis bacaan suhu di buku

0
2

[Parlimen] DEWAN Rakyat hari ini diberitahu rekod suhu badan ketika pemeriksaan di mana-mana premis perniagaan tidak sepatutnya dicatatkan dalam buku atau disimpan secara rekod digital.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang menjelaskan tindakan menyimpan rekod suhu badan pengunjung bercanggah dengan kerangka tatacara pengendalian dan penyimpanan data peribadi ditetapkan kerajaan.

Beliau berkata, berdasarkan garis panduan itu hanya nama, nombor telefon, tarikh dan masa kehadiran pengunjung perlu direkodkan, sama ada pada buku atau secara simpanan digital.

“Data peribadi hanya digunakan untuk pengesanan kontak, manakala tempoh simpanan data pengunjung ialah sehingga enam bulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mesti dimusnah dan dipadamkan secara kekal selepas sembilan bulan.

“Cuma sedikit kekeliruan, kalau kita pergi ke premis perniagaan, dia tulis suhu badan, maka ini tidak wajib dan maka dari segi tatacara yang kita keluarkan, ia salah,” katanya dalam sesi jawab lisan.

Sebelum ini, aplikasi MySejahtera menerusi kenyataan memaklumkan maklumat pengunjung yang boleh direkodkan ketika memasuki premis adalah nama, nombor telefon, tarikh dan masa tiba di premis tersebut.

Di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA), rekod suhu badan dan nombor kad pengenalan pengunjung tidak boleh direkod serta disimpan oleh pemilik premis. – Malaysiapost