Projek rundingan terus: KKR sedia serah dokumen pada SPRM – Fadillah

0
2

KEMENTERIAN Kerja Raya sedia mengemukakan dokumen sekiranya diperlukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat projek rundingan terus yang diterima kementerian itu ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mengesahkan perkara itu dan menyifatkan projek rundingan terus yang membabitkan kementerian itu bukan dalam status “mendesak”.

“Memang ada sebahagiannya di kementerian kita (KKR) dan ya memang saya sahkanlah apa yang dikatakan oleh (Datuk Seri) Tengku Zafrul (Aziz).

“Ia tidak termasuk dalam kategori projek terdesak. Kita tunggu apa-apa tuntutan daripada SPRM.

“Jika mereka memerlukan apa-apa dokumen daripada kementerian saya untuk menyokong siasatan, kita akan beri kerjasamalah,” katanya kepada media.

Fadilah yang juga menteri kanan berkata demikian selepas Majlis Penyerahan dan Perasmian Projek Menaiktaraf Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) di Gombak, hari ini.

Dua hari lalu, Tengku Zafrul yang juga Menteri Kewangan mendedahkan sejumlah 101 projek rundingan terus bernilai RM6.61 bilion diluluskan oleh kementerian tersebut sewaktu pentadbiran kerajaan PH.

Tengku Zafrul membangkitkan perkara itu ketika penggulungan RUU Langkah-langkah sementara bagi pembiayaan kerajaan (penyakit koronavirus 2019) Covid-19 2020 di Dewan Rakyat.

Pendedahan Tengku Zafrul menimbulkan perdebatan hangat di Dewan Rakyat.

Semalam, bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata projek yang rundingan terus yang diluluskannya tidak salah dan adalah perkara biasa.

Dalam pada itu Fadillah berkata, beliau tidak tahu nilai peojek rundingan terus yang diterima kementerian itu.

“Bagaimanapun saya tidak tahu anggaran nilai projek tersebut tetapi akan semak,” katanya lagi. -Malaysiapost