PENYANYI, Ara Johari bersumpah dia bukan ‘kaki minum’ serta menafikan dakwaan mengaitkan dirinya sebagai artis yang mempunyai masalah sosial dan disiplin.
Ia susulan dia tidak hadir menjayakan sebuah program hiburan baru-baru ini.
Ara atau nama sebenarnya Nurfarrah Izzatie Johari mengakui amat kecewa apabila ada pihak membuat tuduhan itu, sedangkan dia menarik diri pada saat akhir disebabkan masalah semput.
“Saya sakit, saya semput, saya tidak sihat semua tu saya memang tak boleh elakkan. Tapi janganlah sampai libatkan benda-benda yang memang Ara tak buat.
“And (Dan) jangan assume (buat andaian) benda bukan-bukan, yang akan menyebabkan orang lain fikir bukan-bukan pasal Ara,” katanya menerusi ‘story’ di Instagram arajohari.
Kata Ara, dia berani bersumpah yang dirinya tidak pernah minum dan tidak pernah sentuh sebarang minuman beralkohol atau mengambil dadah.
“Saya agak kecewa bila orang buat dakwaan begini. Hal ini sangat sensitif, tapi mulut orang kita tak boleh nak tutup. Apa yang penting, saya tahu yang saya tak sentuh dan ambil benda-benda tu semua,” katanya.
Ara menambah, dia juga tidak tahu mengapa ada pihak sanggup membuat tuduhan tidak berasas sedemikian rupa, termasuk dirinya kurus kerana mengambil barang terlarang.
“Saya tidak tahu mengapa orang tuduh saya kaki minum. Bahkan ada juga yang kata saya ambil ‘barang’ hanya kerana saya kurus. Walhal saya kurus sebab memang susah nak naik berat badan, bukan ambil dadah,” katanya.
Jelasnya, dia ada berkawan dan bergaul dengan individu yang menjalani kehidupan sosial namun tahu untuk menjaga diri dan tidak akan melakukan perkara terlarang.
“Saya berkawan dengan semua orang. Saya memang ada kawan yang sosial, yang minum, tapi bagi saya kita yang kena pandai jaga diri. Kalau kawan minum, kenapa kita nak ikut.
“Tak apalah, janji orang sekeliling dan keluarga tahu saya macam mana pun dah cukup,” katanya. – MalaysiaPost

