Khairuddin jumpa Abdul Hadi

0
2

MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali bertemu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada ketika beliau berdepan isu melanggar perintah kuarantin Covid-19.

Menerusi satu hantaran bergambar di Facebook, Ahli Parlimen Kuala Nerus itu mengucapkan terima kasih kepada Abdul Hadi kerana memberi kata-kata semangat.

“Terima kasih Tuan Guru. Di saat keperitan, sebagai guru mursyid beliau menitipkan kata hikmat, hujah dan penyelesaian.

“Moga Allah rahmati Tuan Guruku,” katanya.

Khairuddin menjadi tumpuan selepas Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok mendedahkan menteri itu tidak mematuhi perintah kuarantin selepas pulang dari Turki pada 7 Julai lalu.

Menurut Kok, Khairuddin hadir di Dewan Rakyat pada 13 Julai dan ikut terlibat dalam mesyuarat serta pertemuan dalam tempoh kuarantin 14 hari yang mana menteri itu sepatutnya berada di rumah.

Ia mencetuskan maklum balas awam, termasuk warganet yang menggesa tindakan diambil terhadap Ahli Parlimen PAS itu.

Kelmarin, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan terhadap Khairuddin berhubung isu kuarantin. – Malaysiapost