SETIAUSAHA Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menegaskan isu projek yang diberi secara rundingan terus oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu bukan soal salah atau betul.
Sebaliknya, beliau berkata apa yang menjadi isu utama adalah apabila DAP sendiri pernah berjanji mereka dan kerajaan PH telus serta memberikan projek secara tender terbuka.
“Semua nak lari dari isu sebenar bila kantoi. Isu 101 project ‘direct nego’ kerajaan PH bukan soal betul atau salah cara perolehan tersebut.
“Atau isu zaman BN (Barisan Nasional) atau zaman PH lebih banyak, tapi isu janji DAP PH berdentam dentum kononnya zaman mereka semua telus dan ‘open tender’… tiba tiba kantoi,” tulisnya menerusi ciapan di Twitter.
Kelmarin, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan sejumlah RM6.61 bilion nilai perolehan telah diluluskan secara rundingan terus oleh Kementerian Kewangan sepanjang pentadbiran PH.
Bagaimanapun beliau tidak menyenaraikan secara terperinci semua projek tersebut.
Berikutan itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendesak supaya kerajaan mengumumkan senarai penuh projek berkenaan serta nama penerima.- MalaysiaPost

