PERGERAKAN Wira Putra menggesa kerajaan memansuhkan sekolah vernakular kerana sifatnya bersandarkan kepentingan politik semata-matanya.
Ketuanya, Nasrul Ali Hasan Abdul Latif berkata, parti itu kecewa dengan keputusan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique untuk mengekalkan sekolah vernakular.
“Ia adalah keputusan impak jangka pendek dan dilihat lebih kepada keputusan atas dasar kepentingan politik semata-mata, bukan untuk kepentingan kejayaan perpaduan rakyat.
“Tidak dinafikan penerapan nilai Rukun Negara kepada setiap pelajar bermula dari peringkat asas, namun akan lebih berkesan jika struktur pendidikan itu disatukan di bawah satu bumbung,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.
Nasrul Ali Hasan berkata, ini bukan soal pelajar sahaja, tapi turut melibatkan guru dan pentadbir sekolah yang bersama lebih kurang lima hingga enam jam sehari.
Katanya, pelbagai bentuk dakyah boleh dibawa sepanjang tempoh berkenaan dan pasti dapat dibendung sekiranya semua diletakkan bawah satu penyelarasan yang baik.
“Kami melihat ini satu kegagalan kerajaan hari ini, yang tidak melihat perpaduan secara menyeluruh. Langkah ini perlu diambil bagi impak perpaduan dan keharmonian negara untuk jangka masa panjang.
“Berpegang pada dasar, jika tak dipecahkan ruyong, manakan dapat sagunya. Keputusan hari ini mungkin akan mendapat tentangan, namun kemanisannya pasti akan dikecapi jika terus istiqamah dengan keputusan yang diambil,” katanya.
Menurut beliau, sebelum ini pemimpin kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga pernah hendak mewujudkan sekolah vernakular, namun ternyata sekadar retorik demi mendapatkan kuasa.
“Dayung sudah ada di tangan, perahu sudah ada di air, namun masih lagi berkompromi demi kepentingan politik jangka masa pendek masing-masing tanpa memikirkan kepentingan generasi akan datang.
“Jadi Wira Putra menyarankan Halimah janganlah beretorik lagi dan cukuplah mengutamakan kepentingan orang lain yang tidak membawa impak positif pada perkembangan dan perpaduan rakyat untuk jangka masa panjang.
“Jika tidak mampu menguruskan dan mencari formula terbaik, elok pulangkan kembali jawatan tersebut kepada Perdana Menteri,” katanya.

