Nilam Oshman
TAN Sri Muhyiddin Yassin meminta Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) mengambil langkah proaktif dan pelan tindakan secara holistik dari aspek ekonomi, pendidikan dan sosial bagi membela nasib penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Perdana Menteri berkata, EAC perlu membantu mereka yang kebanyakannya golongan miskin bandar dan kelompok yang terkesan serta terpaksa bergelut dengan kesusahan untuk meneruskan kehidupan di bandar.
Beliau membangkitkan permasalahan itu dalam pramesyuarat EAC tengah hari tadi, susulan lawatan dan tinjauannya ke beberapa rumah penduduk di PPR Desa Rejang, Setapak, Kuala Lumpur, sebelum ke Parlimen.
Katanya, beliau bangga kerana ramai rakyat yang rajin dan bersungguh-sungguh berusaha membina kehidupan lebih baik dan ada antara mereka melakukan hingga tiga kerja sehari bagi menambah pendapatan keluarga.
“Ada yang memandu teksi dan Grab. Ada menghantar makanan. Ada juga membuat kerja sambilan di luar waktu bekerja. Saya akan berusaha memastikan mereka tidak dipinggirkan, malah perlu lagi dibantu.
“Kerajaan akan sentiasa meletakkan agenda membantu rakyat sebagai keutamaan dan akan terus mencari pelbagai kaedah bagi membantu meningkatkan taraf hidup mereka. Sama-sama kita berusaha untuk membina Malaysia yang lebih baik,” katanya dalam hantaran di akaun Facebooknya, hari ini.
Muhyiddin turut berkesempatan menziarahi tiga penghuni di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) iaitu dua warga emas dan pasangan suami isteri orang kelainan upaya (OKU).
Mereka ialah Chan Kam, 78, B.N. Danalachimi, 78, dan pasangan Rosali Md Nasid serta Artinie Besah.
Beliau juga berkesempatan singgah bersarapan di gerai Che Nah di medan selera dan beramah mesra dengan penduduk PPR di situ.
Kata Muhyiddin lagi, lawatan itu banyak memberi maklumat kepadanya mengenai kehidupan warga kota atau golongan miskin bandar.
“Kebanyakan mereka membuat perniagaan kecil-kecilan, bekerja sebagai pemandu teksi dan lori serta ramai juga yang melakukan kerja sendiri untuk meneruskan kehidupan mereka.
“Saya yakin, semua mereka menginginkan kehidupan lebih baik. Bagaimanapun, terdapat pelbagai kekangan terpaksa dilaluinya.
“Sebenarnya, banyak inisiatif telah dilakukan JKM, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Wilayah Persekutuan serta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk membantu golongan ini,” katanya.
Beliau mengucapkan syabas dan berharap kementerian serta agensi berkenaan akan meneruskan usaha dan inisiatif murni itu.
Bagaimanapun, setelah mendengar luahan penduduk, Muhyiddin berkata, beliau percaya banyak lagi yang boleh dilakukan oleh kerajaan serta agensi kerajaan dalam memastikan golongan itu terbela dan tidak ketinggalan dalam arus pembangunan sama ada dari aspek ekonomi, pendidikan atau sosial.
Antara yang boleh dilakukan adalah dengan menambah baik pusat komuniti setempat dengan aktiviti menambah kemahiran, keusahawanan dan memperkasa pendidikan anak mereka untuk menjamin kesejahteraan pada masa depan.
Dalam pertemuan Muhyiddin dan Rosali ketika lawatan di PPR itu, beliau menzahirkan rasa kagumnya dengan ketabahan dan kegigihan Rosali yang cacat kedua-dua tangan serta menggunakan kaki kanan palsu menyara isteri dan dua anaknya.
Rosali mencari pendapatan dengan membuka kedai jahit, selain beliau adalah penerima bantuan Elaun Pekerja Cacat (EPC).
“Rosali menyuarakan mengenai kesukaran mendapatkan dana untuk modal berniaga. Beliau ada memohon beberapa inisiatif di bawah seliaan kerajaan.
“Setakat ini beliau belum mendapat apa-apa bantuan bagi mengembangkan perniagaannya. Saya sudah minta JKM agar dapat membantunya,” katanya.
Chan Kam yang tinggal bersama anak lelaki OKU, manakala Danalachimi bersendirian, tidak tercicir daripada menerima bantuan kerajaan.
Mereka dibantu sukarelawan yang datang seminggu sekali membelikan barang keperluan dan membersihkan rumah.
“Banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut bersama agensi kerajaan memberi pertolongan dan sokongan. Syabas dan terima kasih.
“Kedua-dua warga emas ini bukan sahaja menerima Bantuan Prihatin, malah berada di bawah pemerhatian JKM yang menyalurkan Bantuan Orang Tua (BOT).
“Anak Chan Kam juga menerima Bantuan OKU Tidak Bekerja (BTB),” katanya. – MalaysiaPost

